Tuesday 27 March 2012

MARI KITA MEMBACA

Merpati Di dalam Sangkar

Pada zaman dahulu, ada seorang bangsawan yang telah membeli seekor burung merpati yang diletakkan di dalam sebuah sangkar di dalam rumahnya.
Ada seekor burung gagak yang tinggal di dalam taman. Burung merpati sentiasa mengejeknya,
Lihatlah betapa banyaknya saya diberi makan. Kamu pula hanya memakan sisa makanan.” Burung gagak hanya mendiamkan diri. Apabila burung merpati menetaskan anak-anak yang comel, dia akan bermegah dengan burung gagak. “Lihatlah betapa comelnya anak-anak saya. Mereka juga akan mendapat layanan yang baik seperti saya,”
Burung gagak membalas, “Benar, tetapi mereka juga akan mendapat penjara seperti kamu itu. Mungkin saya hanya mendapat sisa makanan, tetapi saya bebas.” Burung merpati berasa sedih dan tahu bahawa kata-kata burung gagak itu adalah benar. Dia tidak mengejek burung gagak itu lagi.
 Moral: Lebih baik menikmati kebebasan daripada hidup di dalam kurungan. 

Saturday 17 March 2012


                                                 Pantun Teka-teki

1. Terbang tinggi si burung helang,
Hinggap di atas pohon meranti,
Anak ramai ibunya seorang,
Bila bergesel berapi-rapi.

2. Ada tubuh ada tangan,
Tiada kepala tiada kaki,
Sangat berguna waktu hujan,
Apakah dia yang dimaksudkan ini.

3. Buah budi bidara mengkal,
Masak sebiji di tepi pantai,
Hilang budi bicara akal,
Buah apa tidak bertangkai,

4. Budak-budak ramai di pekan,
Hari raya membakar petas,
Kalau adik pandai kiasan,
Apakah buah gugur ke atas?

5. Tinggi duduk di atas sekali,
Bukan bulan bukan matahari,
Bila malam ia berseri,
Bila siang ia berganti.

6. Tarik pukat dari pangkalan,
Gula Melaka dibuat inti,
Bila diikat ia berjalan,
Bila dibuka ia berhenti,

7. Cik Limah bersama anak lelaki,
Duduk makan keropok lekor,
Yang mengejar tidak berkaki,
Yang dikejar tiada berekor?

8. Pergi umrah setiap tahun,
Moga sentiasa murah rezeki,
Dalam batang ada daun,
Dalam daun ada isi?

9. Bila kecil boleh ditiup,
Sudah besar janganlah lagi,
Kalau tercucuk ia meletup,
Kalau terlepas terbangnya tinggi.

10. Mulut manis hati nak baik,
Itulah amalan turun temurun,
         Benda apa yang akan naik,
Apabila saja hujan turun.

1 1. Walau dibungkus bukan kiriman,
Sudah takdir tuhan yang satu,
Meski ditanam bukan tanaman,
Cubalah teka apakah itu?

12. Hidup aman di dalam kota,
Ada pemimpin bernama raja,
Buruh-buruh rajin bekerja,
Askar bertugas setiap masa?





        
PERUMPAMAAN/
PEPATAH DAN MAKNA
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Kalau sudah terlanjur berbuat sesuatu, biarlah diperoleh hasil daripadanya.


Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.

Sangat menderita kesusahan meskipun bergaji besar atau hidup miskin di
negara yang kaya dan makmur.




Bagai ayam disambar helang.   

Mati tanpa sakit.


Bagai cincin dengan permata.  

Pasangan pengantin yang sepadan.
Bagai layang-layang putus tali.

Tiada berpedoman @ sudah putus harapan,bergantung pada nasib sahaja.


Bagai menatang minyak yang penuh.

Memelihara anak dengan penuh kasih sayang.
 Bagai murai dicabut ekor.

Orang yang suka bercakap.


Bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Perangai anak biasanya mengikut orang yang mengasuhnya.


Berat mata memandang berat lagi bahu   memikul.

Betapa berat kita melihat kesusahan yang dialami oleh seseorang, berat lagi penderitaan itu pada orang yang menanggungnya.
Biar putih tulang jangan putih mata.

Lebih baik mati daripada menanggung malu.


Carik-carik bulu ayam, lama-kelamaan bercantum juga.

Perselisihan faham antara saudara-mara dan adik-beradik tidak berpanjangan, akhirnya akan berbaik semula.


Diam-diam ubi berisi; diam-diam besi berkarat.

Orang berilmu yang berdiam diri lebih baik daripada orang diam tetapi tidak berilmu.
Di mana ada kemahuan, disitu ada jalan.

Seseorang yang bercita-cita tinggi akan berusaha untuk mencapainya.


Genggam bara api biar sampai jadi arang.

Membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaannya.


Harimau mati meninggalkan belang; manusia mati meninggalkan nama.

Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.